Ahad, 26 Februari 2017

Perkembangan Ibu

Perkembangan terbaru mengenai ibu, sekarang ini virus barah ibu sudah merebak ke hati dan otak. Ibu jadi tidak dapat fokus dengan apa yang dilakukan sebab ada saraf bahagian otak terjejas. Doktar sarankan supaya buat pembedahan. Pada mulanya hanya ingin membuat radioterapi saja. Tapi doktor pakar yang lain lebih sarankan untuk membuat pembedahan. Jadi selepas tengok keputusan MRI nanti baru beri kata putus samaada membuat pembedahan ataupun teruskan dengan radioterapi. Bagi aku apa yang terbaik untuk ibu itu yang aku akan ikut. Memang tidak sia - sia lah aku ambil cuti untuk menjaga ibu. Banyak yang doktor perlukan untuk pengesahan. Jika tiada aku yang menjaga tiap pagi, mungkin tidak banyak perkara yang aku dan ayah dapat tahu. Malam ni,



24/02/2017

Jantung ibu berdengup terlalu laju. Sebab apa masih tidak tahu lagi. Tapi dari apa yang aku tengok lebih banyak dari biasa air yang jururawat masukkan.

25/02/2017

Doktor memberitahu aku tentang keadaan ibu aku. Beberapa minit selepas itu aku call ayah memberitahu keadaan ibu dalam keadaan teresak - esak. Secara jujurnya aku masih tidak boleh menerima. Jatung ibu sudah mula keras. Jadi sesetengah saraf mula tidak berfungsi. Termasuklah saraf untuk memproses toxic. Jadi toxic tersebut sudah berkumpul di bahagian otak ibu. itu juga salah satu kenapa ibu jadi lemah dan tidak dapat memberi tumpuan pada sesuatu yang dia akan buat. Doktor memberitahu tiada apa - apa cara lagi untuk memulihkan ibu melainkan memberi ubat penenang dan ubat tahan sakit. Malam ibu tidak boleh tidur. Aku tak pasti kenapa. Mungkin terlalu sakit. Tapi dia tidak dapat memberitahu macam mana. Hari ini ramai sedara mara mula datang melawat. Hmmmmm.

26/02/2017

Sekali lagi ibu tidak dapat tidur. Kesian aku tengok ibu dalam keadaan begini. Untuk pertama kalinya ayah menangis teresak - esak begitu. Sedih aku. Aku dan ayah cuba untuk tidak menunjukkan kesedihan kami depan ibu. Hari ini ramai sedara mara yang datang melawat. Aku bukan tidak mempercayai kepakaran doktor, tapi tidak salah aku mencuba cara lain. Ikhtiar. Aku ada seorang sahabat, family dari aku belajar di politeknik, Abang Firdaus @ aku memanggil dengan panggilan Abang Daus. Pada mulanya aku tidak mengetahui bahawa Abang Daus ada kepakaran perubatan islam. Aku dapat tahu pun dari "Whatsapp Group" PRSP. Jadi aku menghubungi Abang Daus untuk meminta pendapat. Dan hari ini Abang Daus datang untung memeriksa keadaan ibu. Alhamdulillah selepas mengetahui punca, dengan izin Allah, nampak ibu lebih selesa dari sebelum ini. Alhamdulillah mula nampak ibu ingin melelapkan mata.Mengharapkan akan berterusan sehingga sesi perubatan seterusnya. Amiinnn.

Rabu, 22 Februari 2017

Kesabaran...

Aku banyak bersabar buat masa ini. Hendak diikutkan, aku bukan lah orang yang penuh dengan kesabaran. Tapi kalau disentuh mengenai ibu, Puan Roziah Binti Abd. Rahman apa pun ibu buat aku akan bersabar. Ibu mengidap barah payudara. 01/01/2014 tarikh dimana ibu dikenalpasti mengidap barah payudara di tahap 4. Puncanya ibu kekurangan darah. Pada tahun tersebut juga ibu buat pembedahan buang payudara sebelah kiri. Sepanjang kehidupan ibu selepas itu ok, baik, sangat baik. Sampaikan kalau orang lain yang tidak mengenali ibu tidak akan tahu yang ibu mengidap barah. Sehingga la pada hujung tahun 2016, ibu mula lemah, permulaannya ibu mengadu sakit bahagian punggung. Selepas memeriksa doktor menyatakan yang bahagian punggung sebelah kanan ibu ada sedikit keretakan akibat virus - virus barah tersebut sudah merebak sehingga ke bahagian tulang. Sedikit demi sedikit, ibu menunjukkan perubahan semakin lemah. 03/02/2017 ibu dimasukkan ke wad disebabkan ibu selalu muntah selepas makan. Dan sudah pun dibenarkan keluar pada 10/02/2017. Keadaan ibu semasa keluar wad biasa saja. Beberapa hari selepas keluar wad ibu mula menjadi semakin lemah. Akibat tidak mahu makan. Kekurangan gula dalam badan. Ibu dimasukkan semula ke wad pada 14/02/2017 kerana terlalu lemah dan kekurangan gula. Sehingga sekarang 22/02/2017 ibu masih lagi dalam keadaan sangat lemah. Kekadang percakapan ibu juga menjadi tidak jelas sehinggakan ibu menjadi marah apabila kita tidak memahami apa yang dikatakannya. Hari ini kemarahan aku sedikit membuak dengan keadaan ibu yang tidak mahu memberi kerjasama kekadang menjadikan aku sakit hati. Seperti pagi tadi ibu hampir jatuh dalam bilik air. Aku memberi arahan yang sangat mudah untuk ibu mengalihkan dirinya ke bahagian bertentangan. Pada mulanya, ibu agak bertenaga. Bila sudah lama dipegang/peluk ibu semakin lemah akibatnya ibu hampir terjatuh. Bernasib baik aku ada kekuatan untuk menahan ibu dari jatuh. Jika tidak pastinya ibu akan jatuh dan mungkin boleh menjadi lumpuh. Semalam Doktor Lee, doktor pakar dari Hospital Selayang datang memeriksa ibu. Doktor Lee memberitahu aku jika dilihat dari keadaan ibu, sebenarnya ibu dalam keadaan kritikal. Kerana melihat dari laporan sel - sel barah ibu kembali aktif. Ibu juga menjadi punca kenapa ibu menjadi lemah seperti ini. Doktor Lee memberitahu supaya kami bersiapsedia dengan apa jua kemungkinan akan terjadi. Aku sememangnya tidak mahu melihat ibu aku seperti ini. Aku hanya mampu berdoa semoga ibu akan sembuh seperti sebelum ini.


Mohon Doakan Ibu Cepat Sembuh Dan Kembali Sihat Seperti Sediakala. Aamiiiinnn.